Oleh : Fara Rosli
KUANTAN, 12 OKTOBER 2023 : Sekolah Kebangsaan Titom, Lipis telah dipilih menjadi lokasi pertama di Pahang menerima kemudahan perkhidmatan internet Starlink.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah bersetuju untuk memilih lokasi tersebut selepas melakukan beberapa penilaian yang berkaitan.
“Pemasangan ini telah dilaksanakan oleh MCMC pada Selasa lalu, selepas sesi tinjauan dan penilaian kesesuaian lokasi dijalankan termasuklah ujian kelajuan internet yang mencatatkan kelajuan antara 80Mbps ke 100Mbps dengan kawasan liputan dalam lingkungan radius 100 meter.
“Perkhidmatan Starlink ini merupakan satu usaha jangka pendek secara Proof of Concept (POC) bagi penyediaan internet di kawasan tersebut, sementara pelaksanaan projek menara baharu di bawah JENDELA dilaksanakan di Pos Titom,” katanya dalam satu hantaran di laman rasmi Facebooknya, hari ini.

Tambahnya lagi, pembinaan menara tersebut masih di peringkat awal proses pembinaan dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2024 dengan perkhidmatan 4G dapat ditawarkan kepada masyarakat Pos Titom dan sekitarnya.
Lebih 400 penduduk di kawasan pedalaman tersebut bakal menerima manfaat hasil daripada pemasangan internet Starlink ini termasuklah pelajar dan juga Orang Asli yang tinggal di kawasan berhampiran.
“Saya berharap dengan perkhidmatan internet Starlink ini, ia dapat membantu meluaskan lagi liputan internet terutamanya di kawasan pedalaman agar lebih ramai rakyat di negeri ini dapat menggunakan perkhidmatan talian komunikasi yang semakin penting pada masa kini,” katanya. – PAHANGMEDIA

