Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 12 OKTOBER 2023 : Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang berjaya mengutip hasil sebanyak RM657 juta setakat bulan ini berbanding sasaran bagi tahun ini sebanyak RM675 juta.
Menurut Pengarah PTG Pahang, Dato’ Hamdan Hussin, sehingga 8 Oktober lepas kutipan hasil yang telah berjaya dikutip sebanyak 97.32 peratus.
“Jumlah kutipan hasil ini melibatkan 11 daerah bermula 22 Julai sehingga 8 Oktober melibatkan kutipan melalui tunai/cek sebanyak RM28.67 juta; tanpa tunai sebanyak RM0.246 juta; dan cek cura sebanyak RM229.994 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang berkenaan promosi Insentif Pengecualian Denda Lewat Bayaran Cukai Tanah di Pejabat Tanah dan Galian Pahang, Indera Mahkota hari ini.
Beliau berkata setakat ini hampir RM633 juta tunggakkan bagi bayaran hasil melibatkan pelbagai kategori pembayaran direkodkan dalam tempoh 10 tahun ini.
“Jumlah tunggakan hampir RM633 juta ini merupakan carry forward yang agak lama dengan tempoh kurang 10 tahun.
“Berdasarkan penemuan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, hak milik dengan kategori bangunan adalah antara yang tertinggi tunggakan cukai tanah di Negeri Pahang dengan jumlah tunggakan sebanyak RM359 juta,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang masih belum melakukan bayaran supaya merebut tempoh promosi insentif ini yang akan berakhir pada 16 Oktober depan.
“Tempoh promosi insentif ini akan berakhir pada 16 Oktober 2023 iaitu berbaki lima hari lagi . Justeru, semua pemilik tanah yang masih belum menjelaskan cukai tanah adalah diseru untuk merebut peluang terakhir ini.
“Mereka boleh melakukan pembayaran samada secara fizikal di kaunter hasil PTG Pahang , di mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di seluruh Negeri Pahang, atau di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan .
“Bagi pembayaran cukai tanah secara atas talian (online) juga boleh dibuat melalui laman web Pejabat PTG Pahang menggunakan gateweay FPX dan aplikasi PahangGo,” katanya. -PAHANGMEDIA

