Oleh : Fara Rosli
KUANTAN, 8 OKTOBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM15,000 khas untuk Kejohanan Kuantan 7’s Hockey Challenge bagi tahun 2023.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri komited dalam menyokong aktiviti sukan di Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang memang sokong anjuran sukan seperti ini terutamanya bila melibatkan ramai pelajar-pelajar sekolah, kerajaan negeri akan bantu untuk kejohanan tahun seterusnya, bukan tahun ini sahaja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Dan Penyampaian Hadiah bagi Kejohanan Kuantan 7’s Hockey Challenge 2023 di Stadium Hoki Wisma Belia Indera Mahkota, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar persatuan-persatuan hoki di Pahang melatih golongan muda dalam arena sukan hoki bagi mencontohi pencapaian hebat pasukan kebangsaan yang sering mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
“Saya tengok hoki ini bukan sahaja mendapat sambutan di Pahang tetapi seluruh negara, ia selari dengan pencapaian hebat pasukan Malaysia peringkat antarabangsa, Pahang patut mengambil kesempatan daripada momentum prestasi cemerlang pasukan hoki kebangsaan dan yang hadir pada hari ini menyahut seruan tersebut dengan mengadakan kejohanan ini.
“Memang bagus peringkat umur ini kita terapkan budaya dan minat terhadap sukan itu sendiri, saya sendiri memegang portfolio sukan, memang menggalakkan penglibatan anak muda khususnya untuk mengamalkan gaya hidup sihat,” tambahnya lagi.
Sebanyak 185 buah pasukan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak melibatkan lebih 2,000 orang peserta telah berkampung di Kuantan selama tiga hari yang berakhir hari ini. – PAHANGMEDIA

