Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 8 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang berjaya mencatatkan kutipan hasil mencecah RM1.018 bilion sehingga hari ini dan dijangka akan melebihi sasaran sebanyak RM1.08 bilion menjelang Disember depan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan sangat optimis untuk mencapai sasaran dengan hanya berbaki kira-kira RM60 juta sahaja lagi.
“Hari ini juga sasaran kerajaan untuk mendapatkan kutipan hasil RM1.08 bilion hari ini telah mendapat RM1.018 bilion tetapi telah melepasi RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Karnival Tanah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2023 “Syukuri Nikmat, Laksana Tanggungjawab, Jelaskan Cukai Tanah Anda” oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Lipis, hari ini.
Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Zulkifli Yaacob, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Long, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, YH. Dato’ Hamdan Hussin dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang dan semua pegawai daerah serta agensi negeri dan Persekutuan atas usaha dan komitmen yang diberikan bagi mencapai kutipan ini terutamanya menerusi Karnival Tanah Pahang 2023.
Kejayaan ini merupakan tahun kedua berturut-turut Negeri Pahang memperoleh kutipan melebihi RM1 bilion selepas tahun lalu mencecah RM1.037 bilion.
Pada majlis sama, orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Taruddin. – PAHANGMEDIA.

