Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 9 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang bersoladiriti dengan Palestin terhadap penindasan yang dilakukan terhadap mereka oleh rejim haram Israel sejak 7 Oktober lalu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menggesa agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) dan seluruh masyarakat dunia dapat bersatu hati mengecam serta mendesak agar peperangan dapat dihentikan segera.
“Saya dan seluruh rakyat di Negeri Pahang akan terus bersolidariti demi keamanan dan kesejahteraan rakyat Palestin yang sering menjadi mangsa penindasan dan kekejaman rejim Israel tanpa mendapat pembelaan sewajarnya oleh masyarakat antarabangsa.

“Saya berdoa semoga rakyat Palestin dilindungi, dikasihi, diberikan kekuatan, ketabahan serta keadilan yang sewajarnya agar mereka dapat hidup aman dan damai di tanahair mereka sendiri,” katanya.
Beliau menyatakan solidaritinya dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook beliau, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, hak tanah rakyat Palestin yang telah dirampas oleh rejim haram Israel sejak 75 tahun lalu perlu diserahkan kembali kepada pemilik asalnya.
Seterusnya sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dapat ditubuhkan dengan disokong oleh seluruh negara dunia.
Dalam serangan Israel terhadap Palestin sejak 7 Oktober lalu telah mengorbankan sebanyak 1,000 nyawa yang tidak berdosa. – PAHANGMEDIA

