Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 7 OKTOBER 2023 : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yabg baharu, Dato’ Amizar Abu Adam melahirkan hasrat untuk meneruskan legasi dan perjuangan asal Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun.
Beliau yang ditemui selepas pengumuman keputusan PRK DUN N.36 Pelangai di Pusat Penjumlahan Rasmi di Felda Kemasul menzahirkan rasa syukur ke atas kemenangan yang diperolehi beliau pada PRK kali ini.
“Kepada penduduk Pelangai, waktu berkempen sudah habis, pilihan raya pun sudah habis, Insya-Allah saya akan menjalankan amanah dan yang penting legasi Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun saya akan teruskan,” katanya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi-pengundi di DUN N.36 Pelangai yang telah memilih Barisan Nasional sebagai parti yang akan memberikan perkhidmatan di DUN Pelangai ini,” katanya.
Beliau yang diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan turut berkongsi perkara pertama yang akan dilakukannya esok selepas memenangi kerusi di DUN tersebut.
“Esok saya akan bertemu dengan pengundi-pengundi dahulu di tempat yang saya fikirkan sesuai.
“Dengan kehadiran pengundi pada kali ini agak luar biasa, rakyat kita sudah bijak memilih dan bertanggungjawab untuk mengundi, ini salah satu sikap rakyat yang baik,” tambahnya lagi.
Beliau memperolehi 7,324 undi sekali gus menewaskan calon dari parti Perikatan Nasional, CIkgu Kasim Samat yang memperolehi 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasni hanya mendapat 47 undi sahaja. – PAHANGMEDIA

