Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 07 OKTOBER 2023 : Sentimen bangsa, agama, dan institusi di Raja (3R) yang dimainkan oleh pihak pembangkang tidak mendapat tempat di hati pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata rakyat di negeri ini mementingkan kesejahteraan.
“Saya percaya bahawa isu-isu 3R tidak mendapat tempat di hati pengundi-pengundi di Pelangai dan juga di Pahang kerana di Pahang ingin melihat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan ingin membantu rakyat.
“Dan setiap masa Kerajaan Negeri Pahang akan memikirkan bagaimana untuk kita membantu rakyat sebab itulah kita perkenalkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP).
“Sebagai contohnya di kawasan Felda pun kita perkenalkan Skim Tanah Rakyat (STR) bagi membuat perumahan generasi kedua Felda dan usaha-usaha ini akan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK DUN N.36 Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul hari ini yang menyaksikan kemenangan calon Barisan Nasional, Dato’ Amizar Abu Adam dengan 7,324 undi.
Tambah beliau lagi, Barisan Nasional juga menawarkan apa yang boleh diberi kepada rakyat dalam kempen di Pelangai ini berbanding hanya memainkan persepsi, sentimen, dan menabur fitnah.
Menurut beliau lagi, faktor sentuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional terdahulu juga memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan berpihak kepada Dato’ Amizar.
“Pengundi-pengundi di Pelangai ini telah merasai sentuhan daripada wakil rakyat sebelum ini yang berjenamakan Barisan Nasional, UMNO.
“Yang saya percaya mereka telah juga banyak menyumbang kepada pembangunan di Pelangai, banyak juga jasa mereka, Tan Sri Long Nan (Adnan Yaakob) dan begitu juga allahyarham Dato’ Sri Johari.
“Dan mereka rasakan sentuhan itu yang menyebabkan mereka memilih juga calon daripada Barisan Nasional supaya apa yang telah dilakukan oleh wakil rakyat sebelum ini akan dapat diteruskan oleh calon Barisan Nasional,” katanya.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.36 Pelangai, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail mengumumkan Dato’ Amizar memperoleh majoriti 2,949 undi.
Calon Perikatan Nasional, Kasim Samat pula memperoleh 4,375 undi, manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli memperoleh 47 undi.
Sebanyak 120 undi ditolak, dan 2 kertas undi tidak dikembalikan daripada keseluruhan 11,746 pengundi bersamaan 72.12 peratus pengundian.-PAHANGMEDIA

