Oleh: Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 7 OKTOBER 2023: YAB Menteri Besar Pahang serta Exco Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil inisiatif untuk memandu sendiri membawa pengundi keluar ke pusat mengundi untuk melaksanakan tanggungjawab.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain mengeluarkan arahan kepada jentera, beliau juga menyatakan kesungguhannya untuk turut membawa keluar pengundi untuk keluar mengundi.

“Saya mengambil pendekatan, saya menyuruh pengundi-pengundi keluar awal, menyuruh jentera-jentera bawa keluar pengundi, jadi tidak adil hanya sekadar mengeluarkan arahan menyuruh mereka keluar mengundi tanpa saya berbuat sesuatu.
“Saya telah mengambil inisiatif supaya mengeluarkan pengundi dan saya sendiri bawa empat orang pengundi pagi tadi dengan tujuan untuk memberi semangat, motivasi, disamping saya bercakap, mengarah, menyuruh, sampai masa untuk saya praktikkan apa yang saya suruh, setakat ini saya dapati semua Exco Kerajaan Negeri dan ketua-ketua bahagian pun membawa keluar pengundi,” jelasnya.
Tambahnya lagi, inisiatif tersebut diambil bagi melancarkan proses serta memudahkan para pengundi di kawasan tersebut menunaikan tanggungjawab mereka sebagai penduduk di kawasan DUN Pelangai.

“Setakat ini pengundi yang telah keluar hampir 60 peratus di dalam DUN Pelangai ini, tidak ada insiden yang tidak diingini berlaku, jentera-jentera terutamanya daripada Barisan Nasional nampak bekerja kuat, bersungguh-sungguh.
“Pesanan saya supaya jentera parti terus berusaha membawa keluar pengundi-pengundi terutamanya ‘pengundi putih’ ke pusat mengundi, masa hanya tinggal beberapa jam lagi, masih ada lebih kurang 40 peratus lebih lagi yang belum dibawa keluar, mereka harus bekerja kuat untuk memastikan pengundi keluar mengundi,” katanya.
Hampir 60 peratus peratus pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai telah menunaikan tanggungjawab mereka mengundi sehingga jam 2 petang tadi. – PAHANGMEDIA

