Oleh : Fansurina Abdullah
BENTONG, 6 OKTOBER 2023 : Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Dato’ Amizar Abu Adam, menyatakan keyakinan memimpin dan merealisasikan segala janji yang diberikan kerana sealiran dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Meski pun beliau yakin, akan wujud pihak yang turut menawarkan janji pembangunan kepada penduduk di DUN Pelangai, namun kenyakinan beliau lebih utuh kerana menerajui kerajaan yang sama dan sealiran dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Kelebihan saya yang sealiran dengan Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Negeri memberikan kekuatan kepada saya bagi merealisasikan hasrat dan ikhtiar untuk dikongsikan bersama-sama penduduk di DUN Pelangai.
“Saya menggariskan empat ikhtiar bertepatan dengan keperluan dan kehendak penduduk di DUN Pelangai iaitu Ikhtiar Pembangunan, Ikhtiar Pendidikan, Ikhtiar Ekonomi dan Ikhtiar Kebajikan,” katanya.
Kesemua ikhtiar tersebut merangkumi keperluan dan kemudahan asas yang diperlukan oleh penduduk DUN Pelangai yang kebanyakannya sudah pun berada di landasan pelaksanaan.
Di bawah Ikhtiar Pembangunan, beliau menggariskan beberapa perancangan termasuklah pembukaan stesen minyak, kemudahan perbankan, perumahan PR1MA, Skim Tanah Rakyat (STR) Kerajaan Negeri bagi kawasan FELDA, fasiliti golongan belia, peningkatan infrastruktur luar bandar dan sebagainya.
Bagi Ikhtiar Pendidikan pula, Dato’ Amizar berhasrat melibatkan ramai anak muda di dalam program latihan teknikal dan vokasional (TVET) selain merapatkan jurang pendidikan di kalangan masyarakat Orang Asli dan meningkatkan kualiti pendidikan pra-sekolah serta menaiktaraf kemudahan perpustakaan Simpang Pelangai.
Bagi Ikhtiar Ekonomi pula, beliau berhasrat menjadi Pelangai sebagai pintu masuk utama dari Selatan menerusi aktiviti ekonomi di sempadan Pahang-Negeri Sembilan, mewujudkan pelancongan tani atau agro-tourism, memasarkan produk tempatan ‘Made In Pelangai’, memperluas Program Jaminan Kerjaya Yayasan Pahang dan melahirkan ramai usahawan muda.
Manakala Ikhtiar Kebajikan pula, beliau turut memperkasa Bantuan Prihatin Pahang (BPP) membabitkan pelajar dan anak muda, pelajar Tahun 1, SPM dan STPM serta pelajar-pelajar pengajian tinggi.
Ikhtiar Kebajikan juga turut memberi tumpuan bantuan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah anak yatim, OKU, Jemaah Haji DUN Pelangai, Food Rider, Bantuan Lesen Motor, Ibu Tunggal, Nelayan, Pemandu Teksi, Mualaf, warga emas dan ramai lagi.
Beliau turut berhasrat mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), membina kemudahan perubatan dan rawatan.
Beliau berharap agar dapat diberik peluang bagi menjadikan manifestonya suatu kenyataan demi kesejahteraan dan manfaat penduduk di DUN Pelangai. – PAHANGMEDIA

