Oleh : Fara Rosli
BENTONG, 4 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang tidak pernah meminggirkan kebajikan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi pertahanan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, golongan-golongan veteran ini tidak pernah diabaikan dan sentiasa mendapat pelbagai bantuan.
“Saya memberi jaminan kepada mereka bahawa kerajaan yang ada pada hari ini, sama ada negeri atau persekutuan, Kerajaan Perpaduan, kita tidak sesekali mengabaikan veteran malahan kalau di Pahang ini seringkali kita memberi bantuan kepada veteran dan ini boleh disahkan dengan pengerusi veteran yang sedia ada, Kapten Latif.
“Sekiranya ada apa jua yang dibawa ke pengetahuan saya, bantuan, perubatan, pembedahan dan sebagainya, kerajaan negeri akan bantu mereka,” katanya ketika ditemui pada Program Sembang Santai Persatuan Veteran ATM Bersama YAB Menteri Besar Pahang, hari ini.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohamad Sharkar Haji Shamsuddin; Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Hussain; calon Barisan Nasional PRK DUN Pelangai, Dato’ Amizar Abu Adam serta Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Pahang (PVATM), YH Kapten (Bersara) Abdul Latif Mat Nor.
Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, beliau mewakili persatuan menegaskan bahawa mereka akan kekal teguh menyokong Barisan Nasional yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar Pahang sebagai tanda penghargaan terhadap Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa mengutamakan kebajikan mereka.
Kira-kira 300 orang hadir pada program yang diadakan di Kampung Bukit Gajah termasuk srikandi-srikandi ATM, pemimpin tempatan serta warga sekitar. – PAHANGMEDIA

