Oleh : Fara Rosli
BENTONG, 4 OKTOBER 2023 : Sumbangan penggiat media sosial di negeri ini tidak boleh disangkal lagi dalam membantu Kerajaan Negeri Pahang menyebarkan informasi semasa.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamed Kamal berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri ini perlu dihebahkan kepada seluruh rakyat.
“Kita ada media rasmi kita cuma di peringkat media sosial ini dia ada penggiat media dia, yang ada followers yang tinggi, ada peminat yang ramai jadi apa salahnya kita minta tolong dengan Tiktokers ini untuk bantu sebar dan kongsikan inisiatif-inisiatif kerajaan negeri kepada seluruh rakyat.
“Kerajaan Negeri Pahang memang sentiasa berhubung, mendampingi Tiktokers di negeri ini, ini bukan program kali pertama kerana kita sedar bahawa sumbangan penggiat media sosial khususnya Tiktokers ini amat penting.
“Ini adalah pengalaman serta peluang penduduk bukan saja di Bukit Gajah tetapi juga di seluruh Pelangai dan Bentong untuk berjumpa dengan mereka (Tiktokers Pahang), jadi saya rasa ini peluang yang baik untuk mengenali figura-figura atau personaliti ini,” katanya ketika ditemui media pada Grand Final Pertandingan Tiktok Pahang1st, di sini hari ini.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai, Dato’ Amizar Abu Adam.
Dalam pada itu, beliau menyatakan penghargaan kepada para penggiat media sosial terutamanya Tiktokers Pahang yang sentiasa berusaha membantu dalam membuat sebarang hebahan berkaitan Kerajaan Negeri Pahang.
Program yang diadakan di Kampung Bukit Gajah itu juga dihadiri oleh Barkoba (Bell Ngasri) dan juga personaliti Tiktok Pahang iaitu Buruh Ladang. – PAHANGMEDIA

