KUANTAN, 4 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang bersetuju untuk memberi insentif RM10,000 kepada Nur Shazrin Mohamad Latif yang telah berjaya memenangi pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Asia Ke-19 Hangzhou 2022 di China, menerusi acara Pelayaran Wanita.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan anak kelahiran Pekan itu dalam memenangi pingat emas juga telah melayakkan beliau untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik secara merit.
“Saya mewakili rakyat negeri Pahang amat berbangga dengan kejayaan yang telah diraih sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan Negeri Pahang di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap lebih ramai lagi atlet-atlet Pahang dapat menjadikan kejayaan Nur Shazrin sebagai satu contoh terbaik untuk berjaya dalam bidang sukan.
“Saya juga berharap dengan pemberian insentif ini, ia dapat menerima galakan dan dorongan kepada Nur Shazrin untuk lebih cemerlang dalam acara sukan yang diceburinya terutamanya di Sukan Olimpik nanti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini. – PAHANGMEDIA

