Oleh : Fara Rosli
Foto : Muhammad Hussin Zainal Ariffin
BENTONG, 4 OKTOBER 2023 : Kestabilan politik merupakan elemen penting dalam usaha untuk mengekalkan perpaduan di negeri Pahang khasnya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini adalah hasil daripada kestabilan politik yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim.
“Untuk mewujudkan perpaduan ini, kestabilan kena ada dan yang penting kena ada kestabilan politik, Alhamdulillah kita di Pahang ini kita ada kestabilan politik dengan wujudnya Kerajaan Perpaduan.
“Negara kita Malaysia, kita kena jaga perpaduan kerana negara kita berbilang kaum dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain, kita perkukuhkan perpaduan dan kita sama-sama membangunkan negara ini, sebab kewujudan negara kita ini memang ditakdirkan macam itu (pelbagai kaum),” katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat India di Telemong, semalam.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai merangkap Pengerusi MIC Pahang, YB Dato’ V. Arumugam; calon yang bertanding mewakili Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil DUN N.36 Pelangai, Dato’ Amizar Abu Adam; serta barisan kepimpinan parti.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat di negeri ini untuk menolak pemimpin-pemimpin yang cuba mengelirukan rakyat sekali gus mendorong rakyat untuk membuat pilihan yang tidak tepat.
“Cuma sekarang ini bila ada pilihan raya di Pelangai ini, saya nampak ada pemimpin luar daripada Pahang yang datang cuba mewujudkan persepsi atau pun sentimen yang boleh menggugat kestabilan dan perpaduan kaum di negeri Pahang ini.
“Jadi kita kena tolak mainan pemimpin yang menuduh Kerajaan Negeri Pahang tidak islamik, sekular dan sebagainya, ini adalah tidak benar, kita tak nak rakyat Negeri Pahang terkeliru dengan apa yang mereka (pembangkang) bawa, kerana ini satu budaya yang tidak sihat,” tegasnya. – PAHANGMEDIA

