Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUALA LUMPUR, 03 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Memorandum ini melibatkan kerjasama di antara Malaysia Rail Link (MRL), yang diwakili YH Dato Seri Darwis Abdul Razak, dan disaksikan Encik Mohd Zaidi Sharif. Manakala Pahang Skills Development Centre (Pahang Skills), diwakili pengarahnya Encik Mohd Yusri Mohd Nor, disaksikan Tuan Haji A. Rahim Omar, dan Dato Mas’ut Awang Samah sebagai pemerhati.
Bagi pihak China Communication Construction Company (CCCC), ia diwakili Encik Kong Qi, dan disaksikan oleh Pengarah Projeknya, Encik Ye Xiaoyang.
Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Perjanjian ini dimaterai berikutan industri keretapi di Malaysia pada masa kini semakin berkembang, sejajar dengan kepesatan pembangunan negara dan projek ECRL merupakan salah satu projek keretapi yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dalam usaha untuk merancakkan perkembangan ekonomi negara khususnya di Pantai Timur.
Justeru itu, Pahang Skills mengambil inisiatif untuk menjadi pusat latihan kemahiran utama yang akan menyumbang kepada penyediaan tenaga mahir di dalam sektor ini.
Sebagai permulaan, Pahang Skills akan membangunkan kursus penyelenggaraan landasan keretapi bagi menampung keperluan pekerja untuk menyelenggara landasan ECRL sepanjang 640 kilometer (km).
Kerjasama di antara Pahang Skills dengan pihak MRL dan CCC dijangka akan dapat memenuhi spesifikasi dan standard pekerja mahir yang diperlukan dalam projek ECRL yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2026.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. -PAHANGMEDIA

