Oleh : Fara Rosli
Foto : Muhammad Hussin Zainal Ariffin
BENTONG, 4 OKTOBER 2023 : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang dari Barisan Nasional (BN) kekal setia dan teguh bersama parti itu di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dakwaan mengenai empat orang ADUN BN Pahang yang akan melompat parti dan menyertai Perikatan Nasional (PN) sekiranya PN menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN N.36 Pelangai bagi membentuk Kerajaan Negeri yang baharu tidak benar sama sekali.
“Secara spontan semua ADUN di Pahang telah pun membuat video pengakuan yang mereka rakamkan sendiri bahawa mereka tidak akan keluar dan akan terus setia bersama BN.
“Ada juga yang dibuat (video rakaman) secara berkelompok lebih kurang dalam 11 orang (ADUN) dan boleh dikatakan semua ADUN terutama dari Barisan Nasional menyatakan untuk terus berada di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat India di Telemong, semalam.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai merangkap Pengerusi MIC Pahang, YB Dato’ V. Arumugam; calon yang bertanding mewakili Barisan Nasional bagi PRK DUN N.36 Pelangai, Dato’ Amizar Abu Adam; serta barisan kepimpinan parti.
Beliau berkata kesemua ADUN dari Barisan Nasional bahkan sedang bekerja keras dalam usaha memastikan kemenangan parti pada 7 Oktober nanti.
“Saya harap rakyat dapat menilai betapa mereka ini suka membuat fitnah yang tidak ada, yang mewujudkan dan merekaciptakan untuk mengelirukan rakyat, menakut-nakutkan rakyat supaya rakyat terpengaruh dengan cakap mereka, walhal ini tidak benar sama sekali.
“Ini adalah lagi satu bukti fitnah yang mereka tabur kepada rakyat, kita boleh bayangkan adakah kita boleh memilih mereka untuk menjadi pemimpin kita, yang suka menceritakan perkara yang tidak benar,” tegasnya. – PAHANGMEDIA

