Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 30 SEPTEMBER 2023 : Empat isu melibatkan infrastruktur di kawasan Felda akan diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan yang prihatin dengan permasalahan rakyat.
YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata empat isu berkenaan melibatkan lampu jalan, klinik desa, capaian telekomunikasi, dan pos kawalan keselamatan.
“Apakah ketidakpuasan hati orang-orang Felda setelah kaji selidik dilakukan. Independent body melakukan kaji selidik itu. Pertama sekali 74 peratus daripada mereka tidak puas hati kerana tidak ada lampu jalan yang mencukupi untuk mereka.
“Tetapi kita harus lihat Kerajaan melalui pengumuman YAB Perdana Menteri tentulah Pengerusi Felda memberikan makluman yang sama agar semua kawasan di kawasan Felda ini bukan sahaja di pasang lampu-lampu jalan malah bil elektrik untuk lampu-lampu jalan di seluruh kawasan Felda di negara ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kerajaan sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
“Jadi langkah-langkah proaktif ini dilakukan oleh Kerajaan yang ada dimana YAB Perdana Menteri sangat prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh peneroka-peneroka juga penduduk-penduduk Felda ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perasmian Sentuhan Kasih @ Simpang Pelangai Mini KUD dan Expo TVET KKDW di Dataran Simpang Pelangai, hari ini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Felda, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek; ahli Parlimen Bentong, YB. Young Syefura Othman; dan barisan exco Kerajaan Negeri.
Beliau berkata pihaknya juga telah berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Digital bagi memastikan kawasan Felda diliputi capaian 5G dalam waktu yang terdekat.
“Malah cakupan starlink untuk membuat liputan 5G di kawasan pedalaman dan beratus unit starlink telah diberikan dengan percuma dan saya telah meminta sebahagian besarnya diberikan ke kawasan penduduk Felda.
“44 peratus penduduk Felda tidak berpuas hati dengan ketiadaan atau keuzuran klinik desa dan saya telah bertemu Menteri Kesihatan dan meminta kawasan Felda diberikan keutamaan.
“Keempat, masalah pos kawalan. 24 peratus daripada mereka tidak berpuas hati. Ini kita serahkan kepada Pengerusi Felda untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau turut meminta pemimpin untuk turun padang untuk merasai denyut nadi rakyat dan dibawa ke atas supaya keputusan lebih baik dapat dilakukan. -PAHANGMEDIA