Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 30 SEPTEMBER 2023: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam menjaga keamanan dan kelancaran sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai yang telah memasuki hari kelapan.
YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan rasa kurang senang mereka terhadap kehadiran anggota polis pada setiap program yang dijalankan, merupakan tindakan yang tidak wajar dan tidak seharusnya timbul.
“Saya kenal beliau secara peribadi, dan beliau akan menggunakan apa sahaja bukan hanya untuk menimbulkan satu situasi bagi menyerang, tetapi mewujudkan kekeliruan.
“Polis adalah sangat professional, mereka cuba untuk accommodate mana-mana parti politik dan calon untuk adakan kempen dan jangan persoalkan profesionalisme yang dilakukan oleh agensi penguatkuasaan terutamanya oleh PDRM,” katanya ketika ditemui pada Karnival Kerjaya MYFUTURE JOBS di Felda Chemomoi, di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai permohonan penduduk Pelangai untuk mewujudkan sebuah pusat perbankan di kawasan tersebut, beliau berkata sebuah cawangan bank komersial akan diadakan di Pelangai.
“Mereka (penduduk) telah mengemukakan rayuan ini kepada YAB Menteri Besar Pahang dan MB pun telah memberitahu saya, dan kita akan uruskan, Insya-Allah sebuah cawangan bank komersial atau pun sebuah bank yang dapat membantu penduduk Pelangai dari segi melakukan transaksi kewangan bukan hanya setakat mesin ATM yang telah ada dan ini cawangan komersial sepenuhnya, ini akan diusahakan,” jelasnya. – PAHANGMEDIA

