Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 30 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya mengutip kutipan hasil sebanyak RM950 juta setakat ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau optimis Kerajaan Negeri dapat mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM1.08 bilion tahun ini.
“Dan sehingga kini, kutipan hasil Kerajaan Negeri juga telah memcecah RM950 juta. Dan saya begitu optimis bahawa sasaran kutipan hasil pada tahun ini iaitu RM1.08 bilion mampu dicapai.
“Kerajaan Negeri juga berupaya untuk mengembangkan sektor ekonomi sehingga mencapai tahap yang boleh dibanggakan.
“Antara pencapaian yang telah dicapai dalam tempoh lima tahun ini ialah, kutipan hasil meningkat dari setahun ke setahun; jumlah pelaburan juga turut meningkat dari setahun ke
setahun; dan pengurangan hutang Kerajaan Negeri daripada RM3.3 bilion kepada RM950 juta,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kutipan hasil Kerajaan Negeri sebanyak RM1.083 bilion iaitu peningkatan sebanyak 4.25 peratus berbanding Belanjawan Tahun 2022.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata unjuran hasil bertemakan Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah Negeri Pahang.
Ia melibatkan lima strategi dalam Belanjawan Negeri Pahang bagi tahun 2023 iaitu Merangsang Kemajuan Ekonomi; Memperkukuh Tadbir Urus; Membangun Infrastruktur Yang Mampan; Menjamin Kesejahteraan Rakyat; dan Membina Generasi Masa Depan Yang Gemilang. -PAHANGMEDIA