Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 30 SEPTEMBER 2023 : Pembatalan kemenangan calon Perikatan Nasional buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 diharap membuka mata para pengundi di Pelangai kali ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai diharap tidak mengulangi sejarah yang dilakar Terengganu, dan Kelantan tidak berulang di Pahang.
“Rakyat patut lebih membuka mata mereka bahawasanya kes Kuala Terengganu yang PAS kalah bukanlah satu kes yang boleh dikatakan terpencil. Ini satu kes permulaan yang boleh membuka mata pada kes-kes yang lain. Dan diikuti dengan Kemaman.
“Saya rasa rakyat yang lebih rasional akan mengambil iktibar pada apa yang berlaku, membuat keputusan yang terbaik untuk mempengaruhi keputusan mereka di Pahang.
“Dan saya harap Pahang tidak mengikut jejak Terengganu, dan Kelantan kerana mereka di Kelantan dan Terengganu telah diapi-apikan dengan semangat perkauman, semangat ekstrim, keagamaan, yang tidak habis-habis,” katanya.
Beliau secara peribadi berpendapat bahawa memang wujud unsur sogokan oleh PAS kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya di Kuala Terengganu.
“Kalau kita ambil contoh dan iktibar daripada kes Kuala Terengganu, tidak merayu, seolah-olah mengakui mereka menerima dengan apa jua tuduhan yang telah dinyatakan.
“Kalau mereka tidak bersalah, yakin tidak bersalah, mereka patut mempertahankan diri dengan rayuan. Saya rasa Kuala Terengganu telah menunjukkan sikap PAS yang mengakui dan menerima keputusan,” katanya.
Beliau turut meminta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan menghukum mereka yang didapati bersalah.
“Dia ada dua proses berbeza, pilihan raya diadakan semula atas pembatalan adalah satu proses, tapi ini tidak menutup tindakan seterusnya dari segi tindakan undang-undang yang mesti menghukum mereka yang didapati bersalah.
“SPRM perlu mengambil tindakan seterusnya. Jangan biarkan ianya tergantung. Satu telah berlalu, pilihan raya, tidak ada tindakan lagi dan ini dah masuk kes yang kedua. Berapa banyak kes lagi akan dibongkarkan dalam waktu yang terdekat?,” katanya.
Mahkamah Pilihan Raya telah membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamidi yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November tahun lalu pada Selasa lepas selepas berjaya membuktikan wujudnya elemen rasuah. -PAHANGMEDIA

