Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 30 SEPTEMBER 2023 : “Soalnya adakah 7 Oktober nanti kita mahu menoleh ke belakang atau kita mahu memandang ke hadapan?,” itu soal Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, ini merupakan masa yang sesuai kepada rakyat memandang ke hadapan dan melupakan zaman silam yang kelam.
“Bagi saya inilah ketika yang paling sesuai untuk kita memandang ke hadapan dan kita lupakan zaman-zaman silam yang kelam.
“Dan bagi kita bila kita masuk ke suatu terowong zaman apabila ada cahaya yang terang-benderang di hadapan sana, kita berjalanlah dengan laju untuk kita menggapai cahaya yang terang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perasmian Sentuhan Kasih @ Simpang Pelangai Mini KUD dan Expo TVET KKDW di Dataran Simpang Pelangai, hari ini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; ahli Parlimen Bentong, YB. Young Syefura Othman dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Beliau dalam ucapannya turut berkata hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai pada 7 Oktober nanti merupakan hari penentuan masa hadapan bagi penduduk kawasan tersebut.
“Bagaimanakah kita mahu menangani persepsi yang sengaja diwujudkan oleh orang yang tak suka dengan kita. Kalau nak tanya yang baik, tanya kawan. Insya-Allah kawan tidak makan kawan. Tanyalah yang buruk pada lawan atau seteru pasti apa juga yang baik dia kata tidak baik.
“Oleh sebab itu 7hb nanti ini adalah tarikh penentuan untuk orang-orang Pelangai. Untuk meneruskan jasa dan khidmat terbaik oleh Tan Sri Long Nan sepanjang beliau menjadi ADUN Pelangai ini, sepanjang beliau menjadi Menteri Besar Pahang yang telah dapat melakukan transformasi yang terbaik untuk Pelangai, untuk Bentong, untuk Negeri Pahang keseluruhannya.
“Maka kesinambungan itulah di peringkat negeri kita lihat YAB Dato’ Sri Wan Rosdy telah melakukan dengan kaedah yang terbaik,” katanya. -PAHANGMEDIA

