Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2023 : Loji Rawatan Air Karak 2 (LRA Karak 2) telah siap dibina sepenuhnya dan telah mula beroperasi sekaligus dapat meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air di kawasan Lanchang, Temerloh.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu hantaran di Facebooknya, berkata, projek yang menelan kos hampir RM38.5 juta ini termasuk dengan pembinaan sebuah tangki perkhidmatan di Jambu Rias telah memberi manfaat bekalan air yang lebih stabil bukan sahaja kepada kawasan agihan Karak malah dapat disalurkan ke beberapa kawasan di Lanchang sebagai bantuan liputan kawasan agihan.
“Bekalan sedia ada kawasan Lanchang daripada LRA Mempateh dan LRA Lubuk Kawah masih diteruskan dan kawasan agihan terimaan dapat dikecilkan melalui bantuan liputan agihan daripada LRA Karak 2.
“Justeru, kawasan-kawasan blackspot sebelum ini, telah dapat dipulihkan dan mula menerima bekalan air yang lebih stabil dan bertekanan tinggi melalui inisiatif ini,” katanya.
Permintaan sebanyak 210m3/jam bagi kawasan Lanchang dan sekitar telah berjaya disalurkan dengan lebih stabil menerusi bantuan liputan agihan daripada LRA Karak 2 di samping bekalan sedia ada daripada LRA Lubuk Kawah dan LRA Mempateh.
Beliau berkata, usaha berterusan terus dilaksanakan menerusi beberapa projek yang masih dalam peringkat pelaksanaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air di kawasan Lanchang.
Antara projek berkenaan adalah Projek Menaik Taraf Pam Air Mentah LRA Lubuk Kawah dan juga Kerja-kerja Membaikpulih Sistem Agihan LRA Mempateh.
“Ini juga merupakan kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang menerusi PAIP dalam memastikan mutu perkhidmatan bekalan air terus ditingkatkan bukan sahaja bagi kawasan Lanchang, bahkan untuk seluruh Negeri Pahang.
“Saya yakin dan komited Kerajaan Negeri Pahang dan PAIP akan terus melaksanakan segala projek dan inisiatif yang dirancang dalam Projek Pembangunan Bekalan Air Negeri Pahang Fasa 1. Syabas dan terima kasih kepada semua pihak terlibat.
“Saya harap, usaha baik ini diteruskan dan lebih banyak projek pembangunan dapat disiapkan segera dari semasa ke semasa bagi memberi keselesaan kepada rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” katanya. – PAHANGMEDIA

