Oleh : Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 29 SEPTEMBER 2023 : Cadangan untuk menjadikan Pelangai sebagai Pahang Gateway dilihat amat baik dalam usaha membangunkan dan memajukan kawasan tersebut.
Calon Barisan Nasional, Dato’ Amizar Abu Adam berkata, Pelangai merupakan kawasan yang sesuai untuk rancangan tersebut kerana kedudukannya yang strategik.
“Ini yang paling bagus, saya punya inspirasi bahawasanya sampai tahap kita sekurang-kurangnya ada satu tempat yang boleh memberikan satu simbolik contohnya menjadikan (Pelangai) sebagai Pahang Gateway sebab inilah pintu masuk Negeri Sembilan ke Pahang dan kita juga antara salah satu pintu masuk ke Kelantan dan juga Terengganu.
“Ini bermaksud Pelangai ini merupakan salah satu tempat yang sepatutnya menjadi tempat yang lebih baik, sebelum ini sudah ada, tinggal kita nak tambah sedikit elemen, Allahyarham Dato’ Sri Johari pun telah membuat satu perancangan yang rapi, dah ada kertas perancangan beliau namun saya nak tambah nilai sedikit agar menjadi lebih baik daripada pandangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih dan Sesi Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Gajah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai proses berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.36 Pelangai, beliau berkata rata-rata penduduk Pelangai memberikan respon yang baik dan positif terhadapnya sepanjang tempoh berkempen yang telah memasuki hari ketujuh.
“Semua PDM (Pusat Daerah Mengundi) kita telah berjumpa dan Alhamdulillah hari ini kita dalam konteks dan pertemuan ‘one-to-one’, maksudnya terus bertemu dengan pengundi-pengundi, kita mendapat ‘feedback’ yang baik, mereka pun memberi semangat kepada saya juga.
“Sambil itu kita juga dapat mendengar keluhan rakyat, ada yang sakit dan perlukan bantuan, saya akan bawa perkara ini kepada pejabat Kerajaan Negeri, Insya-Allah pihak Kerajaan Negeri Pahang iaitu kerajaan yang prihatin sangat menekankan (kebajikan) dan akan membantu rakyat terutama sekali di DUN Pelangai ini,” katanya – PAHANGMEDIA

