Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 23 SEPTEMBER 2023 : Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, Dato’ Amizar Abu Adam ingin meneruskan legasi pembangunan oleh Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun untuk membangunkan DUN Pelangai termasuklah menyediakan kemudahan infrastruktur kepada penduduk.
Beliau berkata, penduduk di DUN Pelangai terdiri daripada tiga elemen utama iaitu kepelbagaian kaum, kampung tradisi dan perkampungan FELDA yang dilihat amat memerlukan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya yang baik dan selesa.
“Insyaa Allah yang ini saya nampak membantu kepada anak-anak ulang alik pergi ke Bentong, pergi ke Negeri Sembilan, jadi inilah jalan utama supaya dapat diperbaiki dengan lebih sempurna,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di FELDA Chemomoi, Bentong.
Dalam pada itu, beliau turut meminta agar jentera BN dapat bekerjasama bagi menyekat ‘gelombang hijau’ dengan kekuatan dan strategi daripada penyokong-penyokong BN.
“Saya yakin dan percaya bahawasanya pada kali ini akan ada perubahan, maksudnya DUN Pelangai ini lah yang pertamanya kita akan melaksanakannya yang cukup sempurna dan dipimpin oleh pemimpin kami Dato’ Sri Menteri Besar sendiri dan kali ini kita hendak melihat satu anjakan yang baru, maksudnya anak muda akan bersama dan segalanya akan bersama dalam satu tiket Barisan Nasional,” katanya.
Pada PRK DUN Pelangai kali ini, Dato’ Amizar merupakan calon Nombor Tiga dan akan menentang dua lagi calon iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Kassim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Sebelum ini, penyandang DUN Pelangai, Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun menang kerusi dengan majoriti 4,048 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seramai 16,417 pengundi berdaftar di DUN Pelangai akan mengundi wakil rakyat mereka manakala 36 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyediakan 10 pusat mengundi dengan 31 saluran membabitkan sembilan pusat mengundi biasa yang mengandungi 30 saluran dan satu pusat mengundi awal akan digunakan.
Tarikh mengundi awal adalah pada 3 Oktober dan 7 Oktober merupakan hari mengundi bagi semua pengundi DUN Pelangai. – PAHANGMEDIA

