Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 23 SEPTEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah bahawa setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab dalam membentuk negara yang harmoni.
Seri Paduka Baginda bertitah kesemua ini dapat dicapai melalui jambatan silaturahim sesama rakyat negara kita Malaysia.
“Saya telah dapat mengalami dan menjiwai sendiri erti sebenar sebuah jambatan silaturahim semasa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri Sabah dan Sarawak dalam Kembara Kenali Borneo baru-baru ini.
“Sepanjang perjalanan saya, rakyat Sabah dan Sarawak telah keluar beramai-ramai memenuhi jalan-jalan dan disetiap ruang tempat persinggahan saya. Saya tidak menyangka sambutan rakyat kepada saya dan Raja Permaisuri Agong dan keluarga saya adalah begitu hebat sekali.
“Natijahnya kita adalah Satu Malaysia. Laut China Selatan bukanlah menjadi satu halangan yang memisahkan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia. Jika kita bertekad, bersatu hati dan berusaha membina jambatan silaturahim antara kedua-duanya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli memashyurkan jambatan baharu Jambatan Al-Sultan Abdullah di Kampung Seberang Guai di sini.
Titah Seri Paduka Baginda lagi, sekiranya jambatan silaturahim tersebut musnah maka usaha pembentukan Malaysia akan megalami kegagalan.
“Jika kita membakar jambatan tersebut maka segala usaha ke arah pembentukan Malaysia semenjak tahun 1963 dan usaha dalam membentuk sebuah masyarakat yang bersatu-padu akan mengalami kegagalan.
“Setiap seorang daripada kita rakyat Malaysia adalah bertanggungjawab untuk terus membina jambatan yang menjadi penghubung antara semua kaum, bangsa, dan agama demi membentuk sebuah negara yang harmoni,” titah baginda.
Turut mengiringi keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut bercemar duli, YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.; dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; barisan exco Kerajaan Negeri Pahang; dan Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. -PAHANGMEDIA

