Oleh : Fansurina Abdullah
BENTONG, 21 SEPTEMBER 2023 : Masyarakat Orang Asli di Pahang mendapat keistimewaan apabila diberi keutamaan oleh Kerajaan Negeri dalam menerima pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, banyak kelebihan diberikan kepada golongan itu sehinggakan mereka mendapat peruntukan khas bagi kebanyakan peruntukan termasuklah 100 unit Rumah Rakyat Pahang dengan jumlah RM7.5 juta dan pemberian bakul makanan.
“Bantuan ini memang kita dah rancang daripada dahulu lagi, contohnya Rumah Rakyat Pahang kita beri 100 unit kepada masyarakat Orang Asli tahun ini dan insya-Allah kita akan teruskan lagi, yang ini diberikan secara percuma.
“Tadi saya tengok ada 5, 6 buah rumah yang sedang dibina di sini dan juga bantuan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli dan lain-lain bantuanlah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Bakul Makanan Orang Asli sempena Hari Orang Asli Sedunia 2023, Insentif Kerajaan Pahang yang diadakan di Kampung Orang Asli Sungai Bot di Bentong.
Hadir sama ialah YB Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor, barisan Exco Kerajaan Pahang, Ketua Pengarah JAKOA, YBhg Dato’ Sapiah Dato’ Mohd Nor, Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Data Strategik Pahang (UPODS) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), Dato’ Muhammad Olian Abdullah.
Pada majlis itu, seramai 253 orang menerima Bantuan Prihatin Pahang Kluster Bakul Makanan Orang Asli, turut diberikan Bantuan Rumah Rakyat Pahang Orang Asli Pahang 2023 – Bina Baru, Bantuan Baik Pulih Rumah Orang Asli Pahang 2023, 20 penerima mendapat Bantuan Pahang Pride Orang Asli Komputer Riba dan Bantuan Insentif Perkahwinan Kali Pertama Orang Asli Tahun 2023 kepada enam pasangan.
Turut disampaikan ialah cek sumbangan khas YAB Menteri Besar Pahang bagi bantuan peralatan kepada tiga Kampung Orang Asli (KOA) iaitu KOA Sungai Bot, KOA Sungai Gapoi dan KOA Hulu Semei.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Pahang tidak mahu ada masyarakat tercicir daripada menerima pembangunan dan kemajuan negeri khususnya masyarakat Orang Asli.
Justeru, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli. – PAHANGMEDIA

