Oleh : Fansurina Abdullah
BENTONG, 21 SEPTEMBER 2023 : “BN pasti menang.”
Itu semangat dan keyakinan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang gembira apabila anak watan FELDA Chemomoi iaitu YH. Dato’ Amizar Abu Adam telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.
Dato’ Amizar telah diumumkan sebagai calon yang mewakili BN pada PRK Pelangai oleh Pengerusi BN Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Majlis Perbandaran Bentong, semalam.

Seorang pengundi DUN Pelangai, Puan Haryati Rahman, 41, berkata, beliau yang kini tinggal di FELDA Chemomoi sangat gembira dan terharu apabila anak jati FELDA Chemomoi dipilih untuk menjadi calon BN bagi PRK DUN Pelangai.
“Saya tidak kira siapa pun calonnya tetapi yang pasti saya mahukan Barisan Nasional terus mentadbir DUN Pelangai. Saya amat bersetujulah (pemilihan calon) sebab dia (Dato’ Amizar) anak jati dan dia pun orang lama dalam Barisan Nasional,” katanya.

Sementara itu, Encik Sabar Sarib, 83, berkata, selama 52 tahun tinggal dan menetap di FELDA Chemomoi turut menyatakan sokongan dan semangat untuk memastikan Dato’ Amizar dapat memenangi PRK Pelangai kali ini dan tidak akan membenarkan parti lain mentadbir DUN berkenaan.
“Sudah lebih 60 tahun calon bukan orang Pelangai tetapi ada orang Pelangai dah sekarang, calon untuk BN, saya bersyukur kepada Allah Taala kerana mencalonkan orang Pelangai sendiri untuk memimpin, dulu orang Bentong sekarang orang Pelangai dah jadi calon, Insya-Allah saya akan berusaha menaikkan UMNO,” katanya. – PAHANGMEDIA

