Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 21 SEPTEMBER 2023 : Bukit Fraser menjadi pusat peranginan tanah tinggi pertama di negeri ini yang menggunakan konsep pembayaran secara transaksi digital.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tourism Pahang, inisiatif pembayaran ini dilaksanakan bagi memastikan Negeri Pahang menjadi negeri pintar melalui penggunaan transaksi digital bagi semua urusan pembayaran.
“Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang dengan kerjasama Bank Negara Malaysia Kuala Terengganu (Wilayah Pantai Timur) dan Maybank Cawangan Kuantan telah mengadakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Cashless Pusat Peranginan Tanah Tinggi Pertama, Bukit Fraser pada petang ini di Dewan Komplek Sukan Bukit Fraser, Raub.
“Kerajaan Negeri akan sentiasa mengorak langkah bersama-sama pihak institusi-institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank bagi memastikan Negeri Pahang menjadi negeri pintar melalui penggunaan transaksi digital bagi semua urusan pembayaran,” menurut kenyataan berkenaan.
Kenyataan tersebut juga menyatakan bahawa pelaksanaan pembayaran secara digital ini dapat membantu memperluaskan aktiviti ekonomi peniaga setempat.
“Penganjuran inisiatif seperti ini amat membantu memperluaskan aktiviti ekonomi peniaga mahupan orang awam melalui platform berteknologi tinggi serta pembayaran tanpa tunai bagi mengurangkan jurang digital di kalangan bandar.
“Usaha ini juga memerlukan perancangan rapi serta penglibatan setiap jabatan dan agensi untuk merangka dan meningkatkan keupayaan melaksanakan pembangunan inklusif dan mudah sepertimana Initiatif Cashless yang akan dilancarkan pada hari ini,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, Bukit Fraser dipilih berdasarkan statistik kedatangan pelancong seramai 49,139 pada 2022 berbanding 21,981 pada 2021 yang merupakan fasa peralihan endemik COVID-19.
“Walaubagaimanapun, bagi 6 bulan pertama Januari hingga Jun tahun2023, kedatangan pelancong ke Bukit Fraser ialah 23,451 orang dan ini telah menunjukkan respon yang positif bagi mencapai jumlah kedatangan pelancong ke Bukit Fraser pada tahun 2023 lebih daripada 50,000 orang pelancong.
“Dengan pelancaran program pada hari ini ianya sedikit sebanyak membantu industri pelancongan khususnya di Bukit Fraser dan dengan penyediaan mod pembayaran lebih mudah, cepat dan selamat melalui penggunaan DuitNow ini dapat meningkatkan lagi kemudahan terutamanya kepada pelancong-pelancong yang datang ke Bukit Fraser,” katanya.
Berdasarkan kenyataan tersebut, Kerajaan Negeri turut menyeru orang ramai menggunakan pembayaran secara digital sebagai langkah keselamatan.
“Sebagai Kerajaan yang prihatin dengan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri ingin menyeru dan menasihati rakyat untuk mengadaptasi penggunaan pembayaran digital atau cashless bagi memastikan persekitaran pembayaran dan kewangan kita semua lebih mudah dan selamat.
“Kerajaan Negeri Pahang berharap dengan Initiatif digital atau cashless ini akan dapat sedikit sebanyak membantu meningkatkan jualan para peniaga. Kerajaan Negeri Pahang juga komited untuk terus mara ke hadapan dalam usaha pembaharuan digital dan pintar seiring dengan penglibatan setiap lapisan masyarakat dan pihak industri,” katanya. -PAHANGMEDIA

