Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 19 SEPTEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan pelancaran Tabung Sukan Pahang hari ini.
Baginda telah berkenan menyempurnakan inisiatif terbaharu Kerajaan Negeri Pahang ini pada Majlis Anugerah Sukan Pahang 2021/2022 yang diadakan di Hotel Zenith.
Pemangku Raja Pahang juga turut berkenan bercemar duli menyampaikan anugerah Olahragawan Negeri Pahang kepada atlet angkat berat, Mohammad Nasir Roslan dan Olahragawati Negeri Pahang kepada atlet badminton, Lai Pei Jing.
Kedua-dua penerima anugerah membawa pulang wang bernilai RM5,000, piala pusingan, piala iringan, dan sijil penghargaan setiap seorang.

Dalam majlis sama, baginda turut menyampaikan anugerah Olahragawan Harapan Negeri Pahang kepada atlet olahraga, Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain dan Olahragawati Harapan Negeri Pahang, Nur Alia Amera Mohamad Latif.
Bagi penerima anugerah Olahragwan Harapan dan Olahragawati Harapan pula membawa pulang wang bernilai RM3,000, piala pusingan, piala iringan, dan sijil penghargaan setiap seorang.
Turut mengiringi keberangkatan tiba Pemangku Raja Pahang, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Presiden Pahang Rangers.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal; dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang dalam sembah ucapan berkata pelancaran tabung ini dilihat dapat mengubah landskap bidang sukan di negeri ini.
“Tabung ini merupakan satu langkah besar, satu agenda yang terancang, serta satu komitmen yang tidak berbelah bahagi, untuk memperkasa prestasi dan kemajuan sukan di negeri Pahang.
“Pihak yang menyumbang kepada Tabung ini bukan sahaja mendapat pelepasan cukai, tetapi juga turut berpeluang terlibat menjayakan program pembangunan atlet dan sukan berprestasi tinggi di negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

