Oleh : Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 20 SEPTEMBER 2023 : Sebanyak 72 peratus daripada 27,000 orang anak yatim di negeri ini telah mendapat tempat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas menyertai Program Anak Yatim Permata Hati (PERHATI) anjuran Yayasan Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang melalui Yayasan Pahang memperkenalkan program PERHATI dalam usaha untuk memastikan pelajar-pelajar anak yatim tingkatan empat dan lima di negeri ini mendapat perhatian khusus.

“Saya berharap agar Yayasan Pahang meneruskan usaha-usaha sebegini, beri perhatian lebih serius kerana kita tahu anak-anak yatim ini mereka hilang tempat bergantungan.
“Apabila kita masuk (membantu), dengan adanya guru-guru berpengalaman, mendidik mengasuh mereka, mereka tidak akan terabai sekali gus kita akan meletakkan mereka seperti mana anak-anak yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Konvensyen Anak Yatim Permata Hati (PERHATI) Negeri Pahang 2023 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz; serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Yayasan Pahang menyatakan penghargaan Kerajaan Pahang kepada para pendidik yang terlibat dalam mencapai objektif program tersebut.
“Sumbangan dan terlibatan guru-guru dalam mengasuh anak-anak yatim amat dipuji dan dihargai, kerana dalam keadaan anak-anak yang masih muda mereka diuji dengan kehilangan ibu bapa, peranan guru sebagai petunjuk dalam program PERHATI ini dapat memberi mereka semangat dan tidak rasa terpinggir atau rendah diri,” katanya.
Konvensyen ini merupakan platform perkongsian pengalaman bagi meningkatkan profesion keguruan dan kemenjadian murid-murid anak yatim serta perkongsian dan percambahan idea secara holistik kepada semua peserta bagi memantapkan pengurusan program. – PAHANGMEDIA

