Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 19 SEPTEMBER 2023 : Jentera Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bersiap sedia menggempur dan menggembleng tenaga bagi mempertahankan kerusi DUN Pelangai yang sebelum ini dimenangi Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Cawangan FELDA Sungai Kemahal, Puan Nora Sipin berkata, jentera telah bersiap sedia untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai pada 7 Oktober depan.

“Buat masa ini kami JR bersama Pemuda, Puteri cawangan sedang membuat kerja-kerja banci semula pengundi-pengundi termasuklah pengundi muda yang baru mendaftar supaya kita angkat anak muda ini ke arah BN supaya dapat meneruskan legasi yang Dato’ Sri buat,” katanya.
Seorang jentera BN DUN Pelangai, Puan Narima Mat Noh pula, terdapat beberapa cabaran pada PRK DUN Pelangai kali ini yang memerlukan semua pihak termasuklah jentera bekerja keras supaya kerusi DUN Pelangai dapat dipertahankan selepas berpuluh tahun UMNO memerintah di DUN itu.

“Kali ini memang banyak cabaran terutama sekali pengundi luar, anak-anak muda dari luar, pengundi sini tiada masalah apa-apa cuma pengundi muda luar macam anak-anak, adik-adik, itu yang memang cabaran,” katanya.
Seorang lagi jentera, Puan Norazlin Nokman berkata, beliau sangat yakin dan optimis BN akan dapat meneruskan legasi pemerintahan di DUN Pelangai bagi memastikan segala bentuk bantuan dan pembangunan dapat terus disalurkan sebagaimana yang dihasratkan oleh Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun.

“Kita perlu kekalkan BN memerintah sebab sebelum ini pun arwah Dato’ Sri Joe pun banyak tolong, banyak membantu kampung kita, jadi kita kena kekalkan dia, teruskan dia punya impian yang tidak tercapai tu, kita kena terus bangunkan, semangatkan, kena undi juga calon yang mengganti tu,” katanya.
PRK DUN Pelangai terpaksa diadakan bagi mengisi kerusi DUN Pelangai selepas Allahyarham Dato’ Sri Johari terbabit dalam nahas pesawat Beechcraft Premier 1 di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Oktober lepas. – PAHANGMEDIA

