Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 18 SEPTEMBER 2023 : “Bakti dia kepada orang kampung ini macam isi dengan kuku,” kongsi Tok Empat Kampung Hayat, Encik Natharudin Sulaiman.
Encik Natharudin, 57, berkata beliau merupakan salah seorang daripada pihak pengurusan kepada penduduk Pelangai yang dilantik oleh allahyarham Dato’ Sri Johari Harun.
“Dia tak pernah kata banyak (amaun yang perlu diberikan kepada mereka yang memerlukan), tak pernah langsung. Dia tanya Tok Empat nak berapa? Kita beritahu dia malam ni, malam ni juga dia masuk (duit bantuan), esok pagi saya uruskan.
“Masa dia dilantik sebagai YB, dia lantik beberapa orang. Macam saya untuk bahagian kebajikan dan agama. Kalau ada masalah di satu rumah tu, saya kena ambil tahu, sampaikan orang nak beranak pun saya kena bantu.
“Sebab ini arahan dari arwah. Dia kata Tok Empat bantu mana yang kita boleh bantu. Kita jangan fikir dia politik apa, dia pembangkang ke, dia apa ke. Saya jadi YB ni saya berkhidmat untuk rakyat. Apa-apa masalah bagitahu,” kongsinya.
Beliau turut berkongsi keperibadian Allahyarham yang merendah diri dan mudah bergaul dengan orang dari semua peringkat umur di kawasan Pelangai semasa khidmat beliau.
“Dia juga pernah cakap dengan saya, Dato’ Sri ni hanya pada kerusi, saya duduk atas kerusi tu, itulah pangkat saya, bangun je, saya cuma orang biasa.
“Dia pernah cerita, saya ni bermula dari susah jadi saya berkhidmat untuk orang susah. Dia mengalami segala kesusahan sebagai anak jati Kampung Sum-sum, Janda Baik. Dia bermula dari bawah,” katanya.
Mengimbau kenangan bersama allahyarham Dato’ Sri Johari, Tok Empat Natharudin berkongsi sifat santai serta mementingkan anak yatim oleh allahyarham semasa hayatnya.
“Dia santai betul. Duduk tepi longkang dengan saya dan dua tiga lagi rakan, dekat simpang, sedangkan dia YB masa tu, dua hari selepas jadi YB, bincang pasal nak majukan kawasan simpang tiga Pelangai.
“Arwah ni, anak yatim memang dia pegang (uatamakan) betul-betul. Dia utamakan anak yatim sebab dia cakap siapa lagi nak bantu mereka. Dia memang utamakan anak yatim, dan ibu tunggal. Kemudian yang lain tu kita tengok status masalah semua,” katanya. – PAHANGMEDIA

