Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Nor Hilmi Nordin
BENTONG, 14 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang bersetuju menganjurkan Himpunan RXZ pada tahun hadapan dengan Kuantan menjadi lokasi bagi himpunan berkenaan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang prihatin dan cakna terhadap minat anak muda khususnya peminat RXZ dari seluruh negara termasuklah Pahang.
“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dengan rasa berbesar hati telah menawarkan lokasi di Kuantan sebagai Himpunan RXZ Member, awal tahun depan.
“Dan penawaran ini adalah manifestasi sokongan serta keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail terhadap minat anak muda khususnya peminat RXZ dari seluruh negara termasuk di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar Taklimat Status Pencapaian JENDELA di kawasan Parlimen Bentong dan DUN Pelangai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Taklimat Status Capaian Infrastruktur Jalur Lebar Tetap dan Projek ‘Fiber-To-The-Home’ oleh Telekom Malaysia (TM) Pahang di Pusat Internet Komuniti (PEDi) Simpang Pelangai di sini hari ini.
Tambahnya, beliau akan berhubung rapat dengan kelab-kelab permotoran di dalam mahu pun di luar Negeri Pahang bagi membincangkan pengisian program sepanjang Himpunan RXZ berlangsung nanti.
“Saya percaya jika acara ini diuruskan dengan baik, ia akan menjadi acara yang terkemuka bukan sahaja di negara ini tetapi juga mendapat sambutan dari negara-negara luar, terima kasih Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas keprihatinan dan cakna dengan minat orang muda,” katanya.
Selain menyokong perlaksanaan Himpunan RXZ yang menumpukan minat anak muda dan penggemar aktiviti permotoran, Kerajaan Pahang sudah pun mengadakan berbagai aktiviti bagi golongan muda termasuklah acara sukan, kebudayaan dan pendidikan sebagai tanda prihatin terhadap segenap lapisan masyarakat. – PAHANGMEDIA

