Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 14 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah menerima peruntukan sebanyak RM1.14 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan 14 projek pembangunan di daerah ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kesemua projek pembangunan fizikal berkenaan telah pun diluluskan untuk dijalanakan oleh Kerajaan Negeri.
“RM1.14 juta yang telah diluluskan. Maknanya projek berkenaan boleh buat pada bila-bila masa.
“Ia melibatkan kerja menaiktaraf Surau As-Syakirin, Pelangai; menaiktaraf dan membaikpulih Surau Kampung Sungai Gapoi; menaiktaraf dan membaikpulih Surau Kampung Lembah Jaya; menaiktaraf dan membaikpulih Surau Kampung Telemong; menaiktaraf dan membaikpulih Surau Kampung Hayat; membina dataran kejat di hadapan balairaya Kampung F Sungai Kemahal; membina pagar-pagar baharu untuk kawasan perkuburan Kampung Chemomoi; menaiktaraf balairaya dan dewan orang ramai Kampung Chemomoi; membina dataran kejat di hadapan balairaya Kampung Chemomoi; membekal dan memasang longkang baharu dalam Kampung Semerting dan kawasan Taman Rancangan Rumah Murah (RMK) Kampung Semerting bernilai RM100,000 setiap projek.
“Memasang lampu jalan dari Kampung Shafie ke Kampung Ponsun; kerja-kerja di jalan Kampung Shafie; memasang lampu jalan dari Kampung Shafie ke Taman Manchis Jaya, kesemua bernilai RM30,000. Manakala bagi menaiktaraf balairaya Kampung Shafie pula sebanyak RM50,000 diperuntukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2023 Bagi Kluster Pemandu Teksi, Penjaja Harian, Food Rider, dan MyLesen Prihatin Pahang di Dewan Orang Ramai Agropolitan FELDA Chemomoi hari ini.
Turut hadir, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan; dan barisan exco Kerajaan Pahang.
Mengulas mengenai kutipan hasil Kerajaan Negeri sebanyak RM870 juta setakat semalam, beliau berkata Kerajaan Negeri yakin dapat mengutip RM1.08 bilion menjelang hujung tahun ini.
“Ini semua kita uruskan ketirisan, kebocoran dan kita alert siapa-siapa yang ada geran tanah untuk bayar cukai kerana ini adalah tanggungjawab mereka untuk bayar cukai tanah.
“Dan saya nak tekankan di sini, bahawa hasil kita meningkat ini, kita tidak membebankan sesiapa pun, apa yang kita minta adalah hak kita, Kerajaan Negeri.
“Insya-Allah kita akan dapat mencapai sasaran, sasaran kita RM1.08 billion. Mudah-mudahan dapat capai sebelum hujung tahun,” katanya. -PAHANGMEDIA

