Oleh: Farahin Rosli
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 14 SEPTEMBER 2023 : Bantuan yang berterusan oleh Kerajaan Pahang kepada rakyat membuktikan bahawa kerajaan negeri sangat cakna kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
Perkara itu diakui oleh penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang menganggap bantuan ini sebagai salah satu inisiatif untuk meringankan beban rakyat di negeri ini.
Bagi peniaga ikan di Pasar Telemong, Puan Kee Boo Siok, 53, sumbangan yang diterima boleh digunakan untuk memperbaharui lesen perniagaan.
“Sekarang berniaga memang susah sikit, dapat wang (sumbangan) boleh tolong juga, mahu buat lesen. Terima kasih banyak-banyak Menteri Besar Pahang, Kerajaan Pahang, tolong saya,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang peniaga kecil-kecilan, Puan Zuridah Saliman, 33, beliau amat teruja kerana terpilih untuk menerima sumbangan Kluster Penjaja Harian dari Kerajaan Pahang.
“Saya berniaga nasi lemak, kuih-muih dan kopi gantung di depan rumah. Dah dapat sumbangan ini boleh saya tambah peralatan berniaga,” katanya yang berasal dari Felda Kemasul di sini.
Manakala bagi seorang penjaja harian dari Kemahal, Puan Fatimah Mohd Yusof, 77, sumbangan tersebut dapat membantu meluaskan lagi perniagaannya.
“Saya berniaga tiga macam (jenis), kerepek pisang, popia cheese, dodol, lepas ini boleh tambah macam-macam biskut lagi. Rasa sangat berbesar hati, bukan senang nak dapat (bantuan), terima kasih banyak-banyak kerana pilih saya,” katanya.
Kesemua bantuan tersebut disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Agropolitan, ketika Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 Kluster Pemandu Teksi, Penjaja Harian, Food Rider dan Mylesen Prihatin Peringkat Negeri Pahang hari ini. – PAHANGMEDIA