Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 8 SEPTEMBER 2023 : Penglibatan pelajar aliran agama di dalam acara sukan peringkat kebangsaan bukan sahaja dapat mendedahkan mereka kepada bidang dan kemahiran baru tetapi dapat menjadi nilai tambah di dalam diri mereka.
Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini membuktikan kepada masyarakat bahawa stigma pelajar aliran agama yang tidak terlibat dalam aktiviti sukan adalah tidak tepat sama sekali.
“Sebenarnya menjadi nilai tambah kepada mereka walaupun latarbelakang mereka ni agama, kadang-kadang kita mungkin akan wujud salah faham orang agama ini tidak bersukan dan sebagainya.
” Padahal hari ini kita tahu pakaian sukan untuk muslim memang dah banyak di pasaran walau acara renang sekali pun, dengan sekali tudungnya, saya rasa itu tidak bawa masalah dan memang kita galakkan anak-anak berlatarbelakangkan agama untuk terlibat dengan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-22 Tahun 2023 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, YB. Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Zulkepli Ali Al-HafizAl-Hafiz.
KESSUMA 2023 melibatkan 12 kontinjen daripada negeri-negeri seluruh Malaysia dengan penyertaan seramai 1,668 atlet.
Sebanyak enam acara bagi sembilan kategori telah diadakan di dua lokasi iaitu UMPSA dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan untuk merebut gelaran juara keseluruhan dengan menyaksikan pasukan Terengganu berjaya membolot empat emas sekaligus melayakkan mereka merangkul gelaran juara keseluruhan KESSUMA 2023.
Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, YBhg Datuk Hajah Hakimah berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan penganjuran KESSUMA 2023 dengan Pahang sebagai tuan rumah berjaya melaksanakan acara sukan kebangsaan ini.
“KESSUMA Ke-22 tahun ini diadakan di Pahang dipilih sebagai tuan rumah, jadi kita melihat satu penganjuran yang sangat meriah, sangat teratur dan komitmen daripada pegawai-pegawai dan urusetia di Negeri Pahang juga sangat baik dan kita sangat hargailah,” katanya.
Beliau berkata, lokasi KESSUMA seterusnya adalah di Negeri Terengganu dan pihaknya akan mengadakan perbincangan dan post motem bagi menambah baik penganjuran KESSUMA pada masa akan datang. – PAHANGMEDIA

