Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 6 SEPTEMBER 2023 : Seramai 19 pelajar Kolej Yayasan Pahang (KYP) yang berpeluang menyambung pengajian ke Jordan menerima bayaran pendahuluan berjumlah USD1,000 daripada Kerajaan Pahang menerusi Yayasan Pahang yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, pemberian insentif kepada para pelajar yang berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara merupakan amalan Kerajaan Negeri terutamanya apabila pelajar dari Pahang mendapat keistimewaan sekiranya berpeluang menyambung pengajian di Mesir dan Jordan.
“Ini adalah menjadi amalan kita di Kerajaan Negeri menghantar pelajar-pelajar ke luar negara Jordan, Mesir, dan kita Alhamdulillah mendapat laluan yang istimewa daripada universiti di Mesir dan juga Jordan di mana mereka pelajar-pelajar kita daripada UnIPSAS khususnya terus pergi ke Tahun Ke-3 dan ini juga ekoran lawatan saya baru ini ke Mesir dan Jordan di mana pihak universiti bersetuju untuk memberi kelonggaran dan juga bersetuju untuk kita menambahkan lagi pelajar-pelajar kita di universiti Al-Azhar atau pun di Jordan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan insentif bayaran pendahuluan kepada 19 pelajar KYP yang bakal melanjutkan pengajian ke Jordan dengan jumlah keseluruhan USD19,000 di Majlis Perbandaran Bentong (MPB), petang tadi.
Sementara itu, seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Ekonomi Islam KYP, Ahmad Naufal Mohamad Khaidir berkata, pemberian insentif oleh Kerajaan Pahang bukan sahaja dapat membantu mengurangkan bebanan pelajar namun sangat bermakna sebagai anak kelahiran Pahang.
“Saya berasa terharu sebab Menteri Besar sangat memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar Pahang terutamanya saya anak Pahang saya berasa sumbangan Menteri Besar Pahang sangat memberi makna kepada saya dan saya berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana memberi insentif kepada kami untuk menyambung pelajaran ke Jordan, Insyaa Allah,” katanya.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah, Ekonomi dan Perbankan Islam KYP, Nur Hasanah Mohd Adhha berkata, lahir sebagai anak Pahang memberikan banyak kelebihan terutama dalam pemberian insentif bagi menyambung pengajian sama ada di dalam dan luar negara sekaligus dapat memberi semangat.
“Saya berasa bersyukurlah kerana menjadi anak Pahang mendapat satu kelebihan apabila hendak pergi belajar kita dapat sumbangan yang dapat memberi semangat dengan bantuan yang kerajaan bagi maksudnya kerajaan mencakna pelajar-pelajar mereka untuk ke luar negara,” katanya.
Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah, Ekonomi dan Perbankan Islam KYP, Muhammad Syahmi Ahmad Azmi pula menyatakan rasa gembira dan syukur menerima USD1,000 daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Ini merupakan salah satu insentif yang paling baiklah untuk anak-anak Negeri Pahang dan dapat memberi sedikit keprihatinan, kesenangan dan kemudahan untuk kami semua untuk sambung belajar di luar negara di Jordan, Insyaa Allah, jadi saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada YAB dan wakil untuk semua kawan-kawan, terima kasih kepada YAB,” katanya.
Kesemua 19 pelajar tersebut akan berlepas ke Jordan pada 16 September depan. – PAHANGMEDIA

