Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 6 SEPTEMBER 2023 : Keprihatinan Kerajaan Pahang dalam memberikan pelbagai bentuk sumbangan kepada rakyat Pahang melangkaui batas perkauman, politik dan agama.
Ini terbukti apabila kerajaan turut memberikan sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Masyarakat India di Bentong bagi menjalankan pelbagai bentuk aktiviti kebajikan demi manfaat golongan itu.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat India, Encik Ayappan Sandoo berkata, cek sumbangan yang diterima merupakan permohonan yang telah dibuat menerusi Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun yang ketika itu menyandang jawatan Exco Kerajaan Pahang dan ADUN Pelangai.
Kini sumbangan tersebut diteruskan oleh Kerajaan Pahang apabila meneruskan semua permohonan sumbangan yang pernah dipohon oleh penduduk setempat melalui Allahyarham Dato’ Sri Johari.
“Cek sumbangan ini kita minta daripada Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun dulu untuk bantu masyarakat menerusi persatuan itu,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sertik, Encik Kamaruzaman Idris turut bersyukur apabila menerima cek sumbangan bagi menjalankan aktiviti pelajar sekolah berkenaan.
“YAB Menteri Besar memberikan peruntukan kepada pihak sekolah, jadi hari ini saya terima lebih kurang RM5,000 untuk kita salurkan kepada PIBG untuk buat program sekali pun kewangan (sumbangan) yang disalurkan kepada kita, kita salurkan balik kepada pelajar-pelajar, macam-macam programlah perkhemahan ke, yang itu kita salurkan.
“Jadi saya ucapkan ribuan terima kasih banyak-banyak di atas penghargaan (sumbangan) yang diberi mudah-mudahan apa yang diberikan kepada sekolah jadi saya ucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar dan mudah-mudahan Menteri Besar berada dalam keadaan sihat, boleh membantu lagi Kerajaan Negeri Pahang dan juga sekolah-sekolah, terima kasih Kerajaan Pahang dan juga kepada Menteri Besar,” katanya.
Bagi seorang penternak kerbau, Encik Wan Rokman Wan Ngah, sumbangan yang diterima dapat digunakan untuk menaiktaraf infrastruktur di kandang ternakan kerbau yang telah mula beroperasi sejak dua tahun lalu di Kampung Bukit Mat Daling, Ulu Tembeling, Jerantut.
Beliau berkata, kerbau ternakannya kini mencecah 20 ekor dan memerlukan kandang yang lebih baik.
Encik Wan Rokman turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih terhadap sumbangan yang diberikan.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana memberi bantuan kepada saya,” katanya.
Kesemua 40 penerima telah menerima sumbangan masing-masing berjumlah RM511,530 yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Majlis Perbandaran Bentong (MPB), Bentong, pagi tadi. – PAHANGMEDIA

