Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 05 SEPTEMBER 2023 : Enam nama calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan dikemukakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selewatnya 17 September ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berkata senarai tersebut akan diserahkan untuk dibincang dan diputuskan oleh UMNO.
“Ramai calon yang berpotensi, berkaliber, berwibawa, dalam enam orang (calon) dan kita akan teliti calon tersebut.
“Dan saya akan bawa senarai calon tersebut kepada Presiden UMNO untuk dibincang dan diputuskan Insya-Allah pada 17 September senarai nama calon tersebut akan diumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka, Jerantut dan Majlis Meraikan Pengekalan Man and Biosphere (MAB) UNESCO Tasik Chini di Hotel Swiss-Belhotel hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 7 Oktober depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, dan 23 September ditetapkan sebagai tarikh bagi hari penamaan calon.
Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai adalah salah seorang mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Allahyarham Dato’ Sri Johari memperoleh majoriti undi sebanyak 4,048 undi, dan menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang, Isa Ahmad (65 undi).
Menurut data yang dikeluarkan SPR setakat Mei 2023, sebanyak 16,475 pengundi direkodkan bagi DUN N.36 Pelangai. -PAHANGMEDIA

