Oleh : Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang sedang giat mempelbagaikan promosi dan publisiti dalam usaha untuk memastikan sektor pelancongan di negeri ini terus bertahan.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man berkata, Kerajaan Negeri juga aktif dalam menyertai pameran pelancongan dalam dan luar negara antaranya Pameran Pelancongan Matta Fair di Kuala Lumpur, Tourism Pahang Exhibition and Promotion in the 32nd Harbin International Economic and Trade Fair 2023, Harbin, China (Jun 2023), Arabian Travel Market (Mei 2023) dan ITB Berlin, Jerman (Mac 2023).
“Penganjuran pertemuan dalam Program ‘Business to Business / Business Matching’ di antara pengusaha-pengusaha pelancongan tempatan mahu pun luar negara juga dilaksanakan bagi memberi keyakinan dan sokongan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan di negeri ini untuk mempromosikan produk-produk/pakej-pakej pelancongan yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB Tuan Ho Chi Yang pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri telah mengadakan lawatan suai kenal bagi pengusaha pelancongan dari Singapura dan dalam perancangan membawa kumpulan dari PATA (Pacific Asia Travel Association) dari negara Jerman pada tahun ini.
Selain itu, penganjuran acara sukan dapat mengoptimumkan hubungan sinergi antara pelancongan dan sukan untuk memaksimumkan faedah ekonomi di kalangan penduduk setempat dan kerajaan mensasarkan lebih banyak acara dianjurkan di Cameron Highlands. –PAHANGMEDIA

