Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2023 : Kadar liputan 4G di Pahang meningkat kepada 94.31 peratus pada suku pertama 2023 berbanding 89.1 peratus pada suku kedua 2020 sebelum perlaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, kadar ini akan terus meningkat berdasarkan status pelaksanaan JENDELA Fasa 1 siap sepenuhnya.
βDi bawah pelaksanaan JENDELA Fasa 1 yang bermula pada tahun 2020, empat projek utama yang dilaksanakan di Pahang dengan statu pelaksanaan sehingga Suku Pertama 2023 adalah pembinaan 270 menara baharu dengan 70 telah siap manakala 200 sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat sehingga penghujung 2023.
βSebanyak 902 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf kepada rangkaian 4G, rangkaian gentian optik di 118,260 premis dengan 112,931 premis telah siap dilaksanakan dan baki 5,329 premis sedang dilaksanakan manakala Internet Jalur Lebar Satelit di 69 Kampung Orang Asli (KOA) juga telah siap pada April 2022,β katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. Tuan V Arumugam Veerappa Pilai pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Kali Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Jelasnya, bilangan premis di Pahang yang mempunyai rangkaian gentian optik telah ditingkatkan daripada 25 peratus (suku kedua 2020) kepada 52 peratus pada suku pertama 2023.
Menjawab pertanyaan ADUN Sabai berhubung liputan rangkaian yang tidak memuaskan di Sabai, beliau berkata, terdapat tiga menara yang akan dibina di bawah pelaksanaan JENDELA di Kampung Lengkong, Kampung Teroh dan Kampung Paya Pelantar. β PAHANGMEDIA

