Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Nurhilmi Nordin
LIPIS, 6 MAC 2024 : Penganjuran Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang yang diketuai oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya melakar sejarah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Sungai Pahang merupakan laluan pengangkutan air utama dan merupakan laluan perdagangan suatu ketika dahulu.
“Sesungguhnya kejayaan KDYTM Tuanku dalam mengharungi ekspedisi ini sudah pastinya melakar satu lagi sejarah kepada Keluarga Diraja Pahang, selain mengimbau sejarah lalu di mana Sungai Pahang merupakan laluan pengangkutan utama serta laluan perdagangan masyarakat pada zaman dahulu ” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Penutupan Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang di Kampung Tanjung Gahai, di sini hari ini.
Turut mengiringi baginda ialah YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang sejauh 400km telah dimulakan pada 3 Mac hingga 6 Mac membabitkan enam daerah di sepanjang jajaran Sungai Pahang iaitu Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Keluarga Diraja Pahang sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat dalam pemerintahan.
Jelasnya, menerusi ekspedisi ini juga dapat membuka peluang untuk baginda meninjau keadaan persekitaran di sepanjang Sungai Pahang.
“Patik juga yakin dan percaya, KDYTM Tuanku telah pun mempunyai perancangan dan idea untuk memelihara Sungai Pahang yang merupakan sungai kebanggaan kita semua.
“Patik serta pacal-pacal Kerajaan KDYTM Tuanku akan melaksanakan apa jua yang dititahkan oleh Tuanku dalam memastikan kelestarian Sungai Pahang ini terus terpelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya,” katanya. – PAHANGMEDIA