Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Norhilmi
LIPIS, 6 MAC 2024 : Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar Kerajaan Pahang mengenal pasti hutan yang menjadi punca aliran sungai supaya dapat diwartakan sebagai kawasan hutan tadahan air.
“Jangan benarkan sebarang projek pembalakan, pembangunan mahu pun ladang-ladang hutan dibuat di kawasan ini,” titah baginda pada Majlis Penutupan Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang di Kampung Tanjung Gahai di sini hari ini.
Turut mengiringi baginda ialah YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.
Baginda turut menyifatkan Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang ini sebagai platform untuk menyantuni rakyat di Negeri Pahang dan menjadi asas kepada tali silaturrahim di antara baginda dengan rakyat.
Selain melindungi rakyat, baginda juga bertanggungjawab untuk menyatupadukan rakyat dalam semangat kekeluargaan Pahang dan saling menyayangi. –
Sementara itu, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang turut menitahkan supaya parti politik tidak bertelagah sehingga menyebabkan rakyat berpecah belah
Baginda bertitah, parti politik hanyalah halaman demokrasi di dalam pentadbiran sama ada di peringat negara mahu pun negeri.
“Alhamdulillah, pagi tadi di Masjid Kampung Gintong, sebelah kiri saya ada YB Exco daripada Barisan Nasional, sebelah kanan saya ada YB ADUN daripada PAS.
“Parti politik hanyalah sebagai halaman demokrasi kepada pentadbiran negara dan negeri, jangan disebabkan politik rakyat saya dipecah dan bertelagah,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

