Oleh : Norhafizan Zulkfili
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM167.4 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi memacu pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan baharu serta memperkukuh sektor keusahawanan, pertanian, penternakan, perikanan dan pelancongan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur dan jaringan perhubungan strategik turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri menerusi pengukuhan kesalinghubungan darat, rel, laut dan udara.
“Kesemua pembangunan ini akan membuka peluang pelaburan baharu, merancakkan aktiviti perniagaan dan meletakkan Pahang sebagai antara hab ekonomi dan logistik penting di Pantai Timur dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Antara projek strategik yang dijangka merancakkan ekonomi negeri ialah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan Kuantan ke Lembah Klang dalam tempoh sekitar satu jam 30 minit, selain pemodenan Pelabuhan Kuantan sebagai pelabuhan laut dalam berkapasiti tinggi.
Pembangunan sektor logistik turut diperkukuh menerusi perkhidmatan kapal Roll-on/Roll-off (RORO) yang menghubungkan Kuantan ke Kuching, Sarawak, dengan tempoh pelayaran kurang dua hari berbanding empat hingga enam hari melalui laluan konvensional dari Pelabuhan Klang.
Selain itu, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menghubungkan Bentong, Raub dan Lipis hingga ke Kelantan dijangka melancarkan perjalanan serta menjimatkan masa sehingga dua jam.
Pembangunan Bandar Aeroangkasa dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan baharu pula bakal melengkapkan ekosistem pengangkutan serta memperkukuh potensi Pahang sebagai hab ekonomi dan logistik.
Dalam memperkasakan agenda pelaburan, sebanyak RM520,000 diperuntukkan bagi penyelarasan inisiatif Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2030 (PET30), manakala RM500,000 disediakan untuk penganjuran Teknologi Revolusi Expo (TREX) serta pengukuhan peranan agensi pelaburan negeri dalam menarik pelaburan bernilai tambah tinggi.
Kerajaan Negeri turut menyediakan RM500,000 bagi penganjuran Expo Usahawan yang melibatkan penyertaan 10 negara ASEAN sebagai platform kepada usahawan tempatan memperluas jaringan perniagaan dan meneroka pasaran serantau.
Bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi pembangunan Pelan Induk Start-Up Pahang 2030, RM1 juta untuk Program Promosi Usahawan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan RM5 juta bagi Skim Pembiayaan Dana Pensijilan Halal Negeri Pahang (PUSHPA).
Selain itu, sebanyak RM5 juta masing-masing disediakan bagi Program Pemantapan Usahawan Muda Pahang 1st dan Geran Usahawan Inisiatif Bantuan Negeri Pahang kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Sebanyak RM3 juta lagi diperuntukkan bagi Program Usahawan Wanita Pahang 1st yang memberi tumpuan kepada golongan wanita berusia 40 tahun ke atas untuk memperkukuh penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan.
Dalam usaha mengurangkan kos menjalankan perniagaan, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM3.5 juta bagi pemberian lesen perniagaan secara percuma kepada penjaja yang layak menerusi Sistem e-Rakyat.
Inisiatif itu bertujuan membantu penjaja mengurangkan kos perniagaan, selain menggalakkan aktiviti perniagaan yang sah dan teratur.
“Kita mahu pertumbuhan ekonomi ini diterjemahkan secara langsung kepada kesejahteraan rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh,” katanya. -PAHANGMEDIA

