Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
LIPIS, 29 OKTOBER 2026 : Dua keluarga warga emas di daerah ini melahirkan rasa syukur apabila menerima kunjungan dan bantuan secara langsung menerusi Program Ziarah Makmur sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) Daerah Lipis, hari ini.
Kunjungan itu diketuai oleh YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, diiringi Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.
Cucu kepada salah seorang penerima, Nur Hajariah Azmi, 39, berkata kunjungan itu membuka peluang kepada keluarganya untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri, khususnya bagi golongan yang berdepan masalah kesihatan.

Katanya, neneknya, Timah Idris, 83, telah lama menghidap asma selain mempunyai masalah kesihatan lain termasuk darah tinggi dan diabetes yang memerlukan pemantauan serta rawatan di hospital dari semasa ke semasa.
“Kami memang tak sangka ada bantuan sampai terus ke rumah macam ini. Kalau Dato’ Sri Setiausaha Kerajaan Negeri tak datang ke rumah kami, kami tak tahu pun ada banyak bantuan disediakan oleh Kerajaan Negeri.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Menteri Besar, Tokwan atas semua sumbangan ini. Ia sedikit sebanyak membantu nenek kami dan rakyat Pahang,” katanya.
Menurut Nur Hajariah, hebahan mengenai bantuan kerajaan perlu diperluas supaya lebih ramai rakyat, khususnya keluarga yang menjaga warga emas dan pesakit kronik, mengetahui bantuan yang boleh dimohon.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Mohammad Awang, 73, yang merupakan pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lipis, berkata sumbangan diterima amat bermakna dalam membantu dirinya yang menghidap penyakit jantung sejak kira-kira dua tahun lalu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas keprihatinan yang diberikan kepada golongan yang berdepan masalah kesihatan dan tidak lagi berupaya bekerja seperti dahulu.
“Saya tak sangka juga menerima bantuan sebanyak ini. Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah memberikan sumbangan kepada saya.
“Bantuan seperti ini bagus untuk rakyat Pahang, khususnya mereka yang memerlukan, kurang sihat atau menghidap penyakit kronik serta tidak lagi mampu bekerja. Terima kasih banyak-banyak kerana membantu saya dan keluarga,” katanya.
Program Ziarah Makmur merupakan antara usaha Kerajaan Negeri mendekati rakyat secara langsung bagi mengenal pasti keperluan mereka, selain memastikan golongan yang memerlukan mendapat perhatian serta mengetahui saluran bantuan yang disediakan. -PAHANGMEDIA

