Oleh : Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 28 OKTOBER 2026 : Pemberian insentif menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Umum menyuntik semangat Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk terus berkhidmat serta melaksanakan program demi manfaat masyarakat setempat.
Pengerusi JPKK Kampung Budu, Encik Ismail Osman berkata, beliau menghargai keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam menyalurkan insentif berkenaan kepada pemimpin masyarakat.
“Terima kasih atas keprihatinan YAB Menteri Besar yang memberikan insentif kepada semua Pengerusi JPKK di negeri Pahang.

“Suntikan insentif ini insya-Allah akan memberikan semangat kepada semua JPKK untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Makmur Pahang kepada Pengerusi dan Setiausaha JPKK bagi daerah Lipis, Raub, Bentong dan Cameron Highlands di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Dalam pada itu, Encik Ismail berkata, pihaknya turut mengusahakan pemulihan tanah terbiar di Kampung Budu menerusi penanaman padi di kawasan seluas kira-kira 57 hektar.
Beliau berharap usaha berkenaan dapat membantu merancakkan kegiatan ekonomi setempat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

Sementara itu, Setiausaha JPKK Kampung Kuala Lanar, Puan Zunaidah Mamat berkata, insentif berkenaan dapat membantu melancarkan pelaksanaan program yang dirancang di peringkat kampung.
“Terima kasih kepada Tok Wan atas sumbangan ini. Insya-Allah, insentif ini dapat melancarkan lagi program yang dirancang di kampung dan menambahkan semangat saya untuk terus berkhidmat sebagai setiausaha JPKK,” katanya.
Majlis penyerahan itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Pahang menghargai peranan pemimpin masyarakat dalam membantu menyampaikan perkhidmatan serta melaksanakan program di peringkat komuniti.
Menerusi inisiatif berkenaan, setiap Pengerusi JPKK menerima RM400, manakala Setiausaha JPKK menerima RM200 sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada masyarakat setempat.-PAHANGMEDIA

