Oleh : Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 28 OKTOBER 2026 : Selepas menunggu selama 10 tahun, impian Puan Norazimah Zulkifli, 39, untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan menerusi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang di Kuala Lanar, di sini.
Ibu kepada lima anak itu berkata, sebelum ini dia dan keluarga terpaksa menyewa serta menetap di kuarters Pejabat Haiwan, tempat suaminya bekerja.
Menurutnya, dia amat bersyukur apabila permohonan yang dibuat sejak 2014 akhirnya diluluskan, sekali gus membolehkannya memiliki kediaman sendiri selepas sekian lama menunggu.
“Sangat-sangat bersyukur sebab memang nak sangat rumah sendiri. Lagi lega dapat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kuala Lanar (Fasa 3) di Dewan Bankuet Jubli, di sini, hari ini.

Tambahnya, dia teruja untuk menghias rumah baharu itu agar lebih cantik dan selesa untuk didiami bersama keluarga.
“Memang nak hias rumah, nak bagi lawa betul rumah sendiri. Lega, anak pun seronok sangat sebab dapat bilik. Jadi kita pun lega,” katanya.
Norazimah turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, atas inisiatif kerajaan negeri membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
“Terima kasih kepada MB (YAB Menteri Besar), Tok Wan. Terima kasih banyak-banyak,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Encik Muhammad Hanafi Enche Mat Radi, 35, berkata dia bersyukur kerana berjaya memiliki rumah PR1MA Pahang selepas menunggu kira-kira dua tahun.
Katanya, peluang mendapatkan rumah pada harga RM150,000 itu amat bermakna buat dirinya dan keluarga.

“Syukurlah sebab orang kata, bukan senang nak dapat rumah sekarang. Tapi alhamdulillah, dengan rumah PR1MA ini mudahlah kita dapat rumah untuk rakyat negeri Pahang. Bersyukurlah sangat-sangat,” katanya.
Menurutnya, harga rumah berkenaan memberi peluang kepada keluarganya untuk memiliki kediaman sendiri sebagai tempat berteduh bersama isteri dan empat anak mereka.
“Mana nak cari rumah RM150,000 lebih, kan? Tapi alhamdulillah, orang kata rezekilah, rezeki anak bini,” katanya.
Rumah PR1MA Pahang Kuala Lanar, yang turut dikenali sebagai Perumahan Makmur Kuala Lanar Jaya, dibangunkan oleh Kejuruteraan Seberkas Sdn. Bhd. di atas tanah kerajaan seluas 31 hektar.
Projek bernilai RM115 juta itu merangkumi tiga fasa dengan keseluruhan 426 unit rumah.
Bagi Fasa 3, sebanyak 132 unit rumah berkembar satu tingkat siap sepenuhnya pada 10 Julai lalu, dengan 83 penerima menerima kunci kediaman masing-masing pada majlis berkenaan. -PAHANGMEDIA

