Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 28 OKTOBER 2026 : Bantuan One-off kepada Penjaja Kecil menerusi Inisiatif Makmur Pahang Kluster B40 membantu meringankan beban kewangan penjaja, khususnya bagi menampung kos operasi termasuk bayaran lesen perniagaan.
Penerima bantuan, Puan Rozana Abdul Razak, 44, berkata sumbangan itu amat bermakna kerana dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan perniagaan yang perlu dilunaskan.
“Alhamdulillah, rezeki daripada Allah. Saya gembira kerana sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban. Sekarang dah bulan September, nak kena bayar lesen, jadi sumbangan ini dapat digunakan untuk membayar lesen,” katanya.

Menurutnya, bantuan berkenaan turut membuktikan bahawa golongan penjaja kecil mendapat perhatian kerajaan dalam usaha membantu mereka meneruskan perniagaan.
“Sebelum ini akak tak didedahkan dengan bantuan ini. Selepas tinggal di kawasan Balok, barulah akak tahu kerajaan banyak membantu peniaga kecil.
“Kerajaan ini tak tinggalkan kita (penjaja kecil), sebaliknya membantu peniaga kecil seperti kita.
“Saya betul-betul mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, khususnya YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Alhamdulillah, sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban kami semua,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Puan Shuhaila Saidan, 48, berkata bantuan itu dapat membantu menampung bayaran lesen perniagaan yang perlu dijelaskan setiap enam bulan.
“Lesen sekarang ini memang agak berat sebab kita bayar secara berkelompok. Bayaran dibuat setiap enam bulan sekali dengan jumlah RM360.
“Memang agak membebankan, jadi dengan bantuan ini bolehlah menampung sebahagian daripada jumlah itu. Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sumbangan ini dapat membantu sedikit sebanyak,” katanya.
Seramai 351 penjaja kecil dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu dan Beserah menerima bantuan berkenaan yang disampaikan oleh Penyelaras DUN Beserah, Dato’ Indera Haji Mustaffar Kamal AB Hamid, di Dewan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan, di sini, hari ini. – PAHANGMEDIA

