Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 28 OKTOBER 2026 : Seramai 322 Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dari empat daerah menerima bantuan Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Umum hari ini.
Majlis penyerahan bagi daerah Lipis, Raub, Bentong dan Cameron Highlands itu berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Lipis, di sini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat serta memperkukuh hubungan dengan pemimpin masyarakat.

Katanya, pelbagai program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan kepada aspek kebajikan bagi memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan baik. Ini jelas menunjukkan bahawa di Pahang, hampir setiap program yang dilaksanakan turut melibatkan aspek kebajikan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Hadir sama, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.

Menerusi penyerahan itu, seramai 166 Pengerusi JPKK menerima bantuan sebanyak RM400 setiap seorang, manakala 166 Setiausaha JPKK menerima RM200 setiap seorang.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, keupayaan Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan itu turut didorong kedudukan kewangan negeri yang semakin kukuh hasil pengurusan kewangan yang baik.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus berusaha meningkatkan pendapatan dan hasil negeri bagi memperkukuh keupayaan menyalurkan lebih banyak manfaat kepada rakyat.

“Ini semua dapat dilaksanakan kerana kedudukan kewangan negeri semakin baik dan kukuh, sekali gus membolehkan kita menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan hasil pengurusan kewangan yang baik.
“Insya-Allah, kita akan terus meningkatkan pendapatan dan hasil negeri supaya kerajaan mempunyai keupayaan lebih besar untuk menyumbang kembali kepada rakyat,” katanya.
Sebelum ini, majlis penyerahan IM Pahang diadakan di Pekan pada 26 September lalu, melibatkan daerah Kuantan, Rompin dan Pekan, serta di Temerloh pada 29 September lalu, melibatkan daerah Temerloh, Maran, Bera dan Jerantut.
Pelaksanaan secara berperingkat itu bertujuan memastikan bantuan dapat disampaikan kepada pemimpin masyarakat yang berperanan sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dengan penduduk setempat. -PAHANGMEDIA

