Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 24 OKTOBER 2026 : Pengalaman menamatkan latihan berkaitan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di China menjadi kebanggaan graduan Pahang Skills Development Centre (PSDC), yang kini bersedia melangkah ke alam pekerjaan dalam industri perkeretaapian.
Bagi Nur Mohaidatul Kirana Mohaidi, 19, peluang menjalani latihan di China merupakan pengalaman berharga yang mengajarnya untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, bahasa dan budaya kehidupan yang berbeza.

“Pada mulanya, saya agak ragu-ragu dan takut tidak mampu menyesuaikan diri kerana berada di negara orang serta perlu berhadapan dengan bahasa asing.
“Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan latihan dan berasa bangga dengan diri sendiri. Ibu bapa saya juga gembira dengan pencapaian ini,” katanya.
Sementara itu, Najwa Batrisyia Zaharuddin, 19, berkata beliau turut berdepan cabaran apabila perlu mempelajari bidang perkeretaapian meskipun mempunyai latar belakang dalam teknologi maklumat (IT).

Menurutnya, pengalaman tersebut bukan sahaja memberikan pengetahuan baharu, malah membentuk dirinya menjadi lebih berdikari dan mampu menguruskan kehidupan sendiri.
“Kami perlu menyesuaikan diri dengan bidang perkeretaapian yang berbeza daripada bidang pengajian asal, tetapi alhamdulillah, kami semua berjaya mengharunginya.
“Saya sendiri tidak menyangka mampu berdikari dan belajar menguruskan diri. Saya sangat bersyukur kerana selepas melalui tempoh yang mencabar, akhirnya saya berjaya menamatkan latihan dan mendapat pekerjaan dalam bidang yang dipelajari,” katanya.
Dalam pada itu, Tan Yee Ling, 22, yang bakal bertugas sebagai Pembantu Pengawal Pergerakan Tren atau Assistant Dispatcher, menyifatkan tanggungjawab mengawal pergerakan tren sebagai satu cabaran besar yang memerlukan komitmen dan ketelitian.

Bagaimanapun, beliau bersedia memikul tanggungjawab tersebut dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna ECRL apabila operasi perkhidmatan itu bermula.
“Bagi ECRL, saya akan bertugas sebagai Assistant Dispatcher yang mengawal pergerakan tren. Tugas ini agak sukar dan sangat mencabar, tetapi saya bersedia menyahut cabaran itu serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pengguna ECRL,” katanya.
Kejayaan ketiga-tiga graduan itu mencerminkan keupayaan latihan kemahiran dalam mempersiapkan golongan muda menghadapi cabaran industri, selain membuka peluang kerjaya dalam sektor pengangkutan rel yang semakin berkembang.-PAHANGMEDIA

