Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 24 OKTOBER 2026 : Seramai 271 graduan Pahang Skills Development Centre (PSDC) diraikan pada Majlis Konvokesyen Pahang Skills Ke-12 yang berlangsung di Dewan Utama Pahang Skills, di sini, hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 212 graduan menamatkan pengajian dalam program Diploma Kemahiran Malaysia Pahang Skills, 49 graduan daripada Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL) dan 10 graduan daripada program Pemandu Pelancong Bandar.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin berkata, Kerajaan Negeri menghargai usaha PSDC dalam memperluas peluang latihan kemahiran serta memperkukuh kerjasama dengan pihak industri bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dan berdaya saing.
Katanya, perkembangan teknologi dan industri yang semakin pesat menuntut tenaga kerja yang bukan sahaja memiliki kelayakan, malah menguasai kemahiran praktikal, berdisiplin, berintegriti serta mampu memenuhi keperluan pasaran kerja.

“Dalam hal ini, Pahang Skills memainkan peranan penting sebagai institusi latihan kemahiran yang membantu menyediakan tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kejayaan 49 pelatih yang menamatkan latihan dalam bidang penyelenggaraan rel di China sebagai satu pencapaian membanggakan, lebih-lebih lagi apabila kesemua mereka bakal berkhidmat dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurutnya, pembangunan ECRL bukan sahaja membuka peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan dan penyelenggaraan rel, malah turut merancakkan peluang dalam sektor logistik, perkhidmatan, perniagaan serta aktiviti ekonomi di sekitar stesen dan hab pembangunan.

Sehubungan itu, beliau menyeru para graduan supaya terus meningkatkan kemahiran dan memanfaatkan peluang kerjaya yang tersedia bagi memastikan mereka kekal relevan dengan keperluan industri.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta pada tahun ini bagi pelaksanaan projek infrastruktur, penyenggaraan dan penaiktarafan kemudahan latihan di Pahang Skills.
Beliau berkata, peruntukan itu penting bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta menyokong pelaksanaan latihan berkualiti.
Kerajaan Negeri turut menghargai prestasi pengurusan Pahang Skills yang berjaya membelanjakan 100 peratus peruntukan diterima mengikut perancangan dan dalam tempoh ditetapkan.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan komitmen, kecekapan dan akauntabiliti dalam menguruskan amanah yang diberikan. -PAHANGMEDIA

